Saturday, June 9, 2012

Imam al-Tirmidzi


Biodata Imam al-Tirmidzi . ( Bonus ) 

Nama Dan Gelaran

Imam al-Hafiz Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa bin Saurah bin Musa bin ad-Dahhak al-Sulami al-Dharir al-Bughi al-Tirmidzi , salah seorang ahli periwayat dan ahli Hadits yang terkemuka , Selain Imam al-Bukhari , Imam Muslim , Imam Abu Daud dan tokoh-tokoh hadits yang lain . Beliau dikenali sebagai :

Al-Sulami  - iaitu nisbah kepada Bani Sulaim ( dibaca secara tasghir ) yang merupakan satu qabilah yang berasal dari Qais ‘Ailan .

Al-Dharir , yang bermaksud seorang yang buta . Menurut setengah riwayat matanya menjadi buta di akhir umur beliau kerana banyak menangis lantaran menghabiskan umurnya  untuk beribadat .

Al-Bughi – Nisbah kepada suatu kampung di dalam daerah Tarmiz , tempat dimana beliau wafat .

Al-Tirmidzi , iaitu gelaran paling masyhur . Seluruh ilmuan zaman berzaman mengenali beliau dengan nama gelaran ini , gelaran ini merujuk kepada tanah tumpah darah beliau yang terletak di Utara Iran , di kawasan utara Sungai Jaihun ( Amudaria ) iaitu kota Tizmiz .

Kelahiran Imam Al-Tirmidzi .

Ahli sejarah tidak menukilkan tarikh kelahiran beliau secara tepat , mereka hanya menggariskan tarikh kelahiran beliau sekitar awal kurun ketiga Hijrah . Namun yang demikian menurut Imam al-Dhahabi beliau lahir pada tahun 209H berdasarkan sepakat mejoriti ahli sejarah mengatakan beliau meninggal dunia pada tahun 279H ketika berusia 70tahun.

Sejarah Kehidupan dan Pengembaraannya Menuntut Ilmu .

Sebahagian pengkaji mengatakan Abu ‘Isa al-Tirmidzi berasal dari Mirwaz , kemudian berpindah ke Tirmidz dan menetap disana . Beliau hidup dan membesar di zaman kegemilangan ilmu Hadits dan amat gemar mempelajari Ilmu dan mencari Hadits . Untuk memperluas dan memperdalamkan lagi Ilmunya , Imam al-Tirmidzi sentiasa mengembara dan merantau ke banyak negeri . Beliau mengikuti halaqah-halaqah Ilmu Hadits di segenap ceruk rantau termasuk di pusat-pusat pengajian ilmu yang terdapat di Khurasan , Iraq dan Hijaz . Beliau telah mendengar Hadits , menghafal dan mencatat hadits-hadits dengan baik .
Namun begitu para ulama Hadits berpendapat Imam al-Tirmidzi tidak pernah sampai ke Mesir , Syam dan Baghdad kerana mendapati beliau meriwayatkan Hadits dari ulama-ulama Mesir , Syam dan Baghdad secara perantaraan .

Imam al-Tirmidzi telah mengambil masa yang begitu lama menimba ilmu , belajar , mencatat , berdiskusi , menghafal Hadits , mengajar , menyumbang dan mengarang sehingga meletakkan dirinya sebagai ulama Hadits yang disegani oleh para ulama sezaman dengannya . Pada akhir kehidupannya Beliau telah menjadi buta . Akhirnya Imam yang zuhud dan banyak berkorban ini meniggal dunia . Beliau kembali menghadap Ilahi di Tirmidz pada malam Isnin 13 Rejab tahun 279H ketika berusia 70tahun .

Guru-Gurunya .

Imam al-Tirmidzi adalah salah seorang murid kepada Imam Hadits yang terkenal iaitu Imam al-Bukhari dan merupakan salah seorang perawinya . Selain Ilmu Hadits Imam al-Tirmidzi juga mempelajari Ilmu Feqah dengan Imam al-Bukhari . Manakala jalur periwayatan yang lain Imam al-Tirmidzi juga berkongsi guru dengan Imam al-Bukhari . Bahkan beliau juga berkongsi guru dengan enam orang pengarang Kutub as-Sittah . Nama-nama guru mereka ialah ;-

·       Abbas ibn Abd al-‘Azim al-‘Ambari , wafat tahun 247H
·       Abu Hafs ‘Amr ibn ali al-Fallas , wafat tahun 246H
·       Nasr ibn Ali al-Jahdami , wafat tahun 250H
·       Muhammad ibn al-Muthanna Abu Musa , wafat tahun 252H
·       Muhammad ibn Bashshar Bundar , wafat tahun 252H
·       Ya’qub ibn Ibrahim al-Dawraqi , wafat tahun 252H
·       Ziyad ibn Yahya al-Hassani , wafat tahun 254H
·       Muhammad ibn Ma’mar al-Qasyi al-Bahrani , wafat tahun 256H
·       Abu Sa’id al-Ashaj Abdullah ibn Sa’id al-Kindi , wafat tahun 257H
 
Guru beliau yang lain ialah Qutaibah bin Saudi Arabia’id , Ishaq bin Musa , Mahmud bin  Gailan . Said bin ‘Abdur Rahman , Muhammad bin Basysyar , ‘Ali bin Hajar , Ahmad bin Muni’ dan Muhammad bin al-Musanna .

Murid-Murid Beliau

Hadits-Hadits dan ilmu-ilmunya dipelajari dan diriwayatkan oleh ramai tokoh dari kalangan alim ulama . Di antaranya ialah Makhul ibnul-Fadl , Muhammad bin Mahmud  ‘Anbar , Hammad bin Syakir , ‘Ai-bd bin Muhammad an-Nasfiyyun , al-Haisam bin Kulaib asy-Syasyi , Ahmad bin Yusuf an-Nasafi , Abul-‘Abbas Muhammad bin Mahbud al-Mahbubi , yang meriwayatkan kitab  Al-Jami’ daripadanya dan lain-lain .

Ketokohan Imam al-Tirmidzi dan Pengiktirafan Para Ulama Terhadapnya .

Beliau merupakan tokoh ulama sepanjang zaman , kewibawaan beliau dalam lapangan ilmu periwayatan , penulisan dan pengajaran diakui oleh para ulama . Berikut dinukilkan beberapa pujian dan akuan para ulama terhadap beliau :-

Imam al-Bukhari pernah mengungkapkan kata terhadap Imam al-Tirmidzi yang berbunyi : “Aku lebih banyak mendapat manfaat darimu berbanding engkau mengambil manfaat dariku “ . Al-Hafiz Abu al-Fadhlu Muhammad bin Thohir al-Maqdisi menceritakan bahawa al-Hasan bin Ahmad Abu Muhammad al-Samarqandi menggambarkan kepada kami bahawasanya Abu Said Abdul Rahman bin Muhammaf al-Idris al-Hafiz mengatakan : Muhammad bin Isa bin Saurah al-Tirmidzi al-Hafiz al-Dharir adalah seorang imam teladan dalam bidang ilmu Hadits . Beliau telah menyusun kitab al-Jami’ , al-Tawarikh dan al-Ilal . Kitab-kitab susunannya itu membuktikan bahawa beliau seorang ulama yang berpengalaman luas , dan selalu menjadi tauladan kepada orang lain , terutamanya dalam hafalan hadits .

Al-Zahabi didalam kitabnya al-Mizan mengungkapkan :

Al-Tirmidzi adalah seorang yang banyak menghafal . Penyusun kitab al-Jami’ dan diperakui kesahihan riwayatannya oleh Ijma Ulama .

Ibnu Al-Imad al-Hambali di dalam kitabnya Syadzratudz Dzahab , mengungkapkan sebagaimana berikut : al-Tirmidzi amat menonjol di kalangan Ulama seangkatannya . Beliau merupakan model dalam penghafalan dan mendalami Ilmu Hadits .

Karya-Karyanya .

Imam Tirmidzi banyak menulis kitab-kitab . Di antaranya :


·       Kitab Al-Jami’ , dikenali Sunan at-Tirmidzi .
·       Kitab Al-‘Llal .
·       Kitab At-Tarikh .
·       Kitab Asy-Shama’il an-Nabawiyyah .
·       Kitab Az-Zuhd .
·       Kitab Al-Asma’ wal-kuna .
 
Di antara kitab-kitab tersebut yang paling besar dan terkenal serta tersebar luas adalah Al-Jami’ .


Susunan penulis dari Kitab Habibullah terjemahan kitab Syama’il Muhammadiyyah karangan Imam Al-Tirmidzi oleh SheikhHazri Hashim al-Bindany . Semoga Allah merahmati mereka , amin ...

No comments:

Post a Comment