Sunday, June 10, 2012

Ikhtilaf Imam Mujtahid



Apakah manfaat ikhtilaf dikalangan para imam mujtahid ?

Ketahuilah ! Bahawanya ikhtilaf ( perbezaan pendapat ) yang terjadi di antara para imam Mujtahid adalah rahmat dari Allah Ta’ala untuk umat ini . Mereka tidak berbeza pendapat pada masalah ushul ( pokok atau prinsip utama ) , tetapi hanya berbeza pada masalah-masalah yang furu’iyah ( cabang ) apabila ketiadaan nash-nash yang ditentukan secara pasti atau berbilang-bilang kiasannya .

Ikhtilaf yang demikian memberi kemudahan dan kelonggaran ke atas umat ini serta mengeluarkan mereka dari kesempitan dan kesusahan . Ia sesuai dengan apa yang dikehendaki Allah Ta’ala di dalam firmannya :

“ Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan , dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran .” ( Surah al-Baqarah : 185 )

Dalam ayat lain , Allah Ta’ala berfirman :

“ Dialah yang memilih kamu ( untuk mengerjakan suruhan agamaNya ) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah . “ ( Surah al-Hajj : 78 )

Imam al-Khatib meriwayatkan sebuah cerita dari Ismail bin Abi Mujaalid , bahawa suatu ketika Khalifah Harun at-Rasyid pernah berkata kepada Imam Malik bin Anas semoge Allah merahmati Beliau : “ Wahai Abu Abdillah , kami akan menulis Kitab al-Muwatta’ engkau , dan kami akan kirim keseluruh penjuru negeri Islam , untuk kami perintahkan kepada umat ini supaya berpegang dengannya !  “ Beliau ( Imam Malik ) menjawab : “ Wahai Amirul Mukminin ! Sesungguhnya iktilaf di antara ulama itu adalah rahmah bagi umat ini , mereka semua berada dalam satu petunjuk dan mereka semua mengharapkan Redha Allah “ . Dalam sepotong Hadits ada mengatakan :

“ Perselisihan pendapat ( di dalam masalah Feqih ) di kalangan umatku adalah merupakan satu rahmat “ . ( Hadits ini ditakhrij oleh Syaikh al-Maqdisi didalam kitab al-Hujjah dan telah dinukilkan oleh as-Sayuthi di dalam al-Khasais al-Kubra )

Khalifah Umar Abdul Aziz pernah berkata : Aku tidak bergembira kalau seandainya para Shahabat Rasul saw itu tidak berbeza pendapat , kerana sekiranya mereka itu tidak pernah berbeza pendapat , nescaya tidak akan ada yang dinamakan ruhshah .

Ketahuilah ! Bahawa mereka yang berbeza pendapat pada masalah furuiyyah , sebenarnya mereka telah diisyaratkan di dalam al-Quran dengan firmanNya :

“ Dan kalaulah Tuhanmu ( wahai Muhammad ) mengkehendaki , tentulah dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu . ( tetapi Dia tidak berbuat demikian ) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan , [ 118 ]

Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu , (mereka bersatu dalam agama Allah ) dan untuk ( perselisihan dan rahmat ) itulah Allah menjadikan manusia “ . ( Surah Hud 118-119 )

Mereka itu adalah orang-orang yang dirahmati Allah Ta’ala , Khilafiyyah yang terjadi di antara mereka itu adalah sebagai rahmat . Manakala orang yang berbeza pendapat dalam masalah ushul agama ( yakni aqidah ) , hal tersebut tidaklah dirahmati dan diredhai , kecuali orang yang menepati kebenaran tersebut di kalangan mereka . Mereka itu adalah Ahlussunnah Wal Jamaah , yang berpegang teguh dengan apa yang ditunjukan oleh Nabi saw dan para Shahabatnya ra .

No comments:

Post a Comment