Sunday, July 15, 2012

Golongan Pembuat Bid'ah


Adakah Rasulullah saw memberikan gambaran tentang bagaimana sifat golongan pembuat bid’ah ?

       Ya! Rasulullah saw pernah memberi gambaran kepada kita mengenai sifat para pembuat bid’ah, bahawasanya mereka mengambil ayat yang diturunkan kepada orang musyrik, kemudian mereka tuduhkan itu kepada orang yang beriman, seperti ayat yang berbunyi :

“ Maka janganlah Engkau ( wahai Muhammad ) menyembah Tuhan yang lain bersama-sama Allah, akibatnya engkau akan menjadi dari golongan yang dikenakan azab seksa. ” ( Surah asy-Syu’araa : 213 )

Ayat lain :

“ Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid Allah itu untuk ( Ibadat kepada ) Allah semata-mata; Maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah. ” ( Surah al-Jinn : 18 )

Seterusnya :

“ Dan janganlah Engkau ( Wahai Muhammad ) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya Engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim ( terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu ). ” ( Surah Yunus : 106 )

Ayat lainnya :

“ Sesungguhnya benda-benda yang kamu seru selain Allah adalah makhluk-makhluk seperti kamu. Oleh itu, ( Cubalah ) menyerunya supaya benda-benda itu dapat memperkenankan permohonan kamu, kalau betul kamu orang-orang yang benar. ” ( Surah al-‘Araf : 194 )

     Dan ayat-ayat lainnya yang juga diturunkan ke atas orang musyrik, yang meyakini bahawa ada Tuhan selain Allah yang berhak untuk disembah.

     Para Ulama’ menyatakan : Kesuluruhan perkataan mereka ini membawa kekaburan dalam agama dan penyesatan kepada orang awam, kerana bahawasanya seorang mukmin yang bertauhid secara asalnya menyakini keyakinan seperti ini ( keyakinannya orang musyrik ). Maka bagaimana mereka menyamakan kedudukan orang musyrik dengan orang mukmin ? Maha Suci Engkau Ya Allah. Ini pendustaan yang besar ini !

   Ulama telah menyebutkan bahawa firqah-firqah yang aneh tersebut tidak mempunyai qaedah-qaedah yang boleh dijadikan sandaran atau landasan mazhab ( aliran ) yang dapat di pertanggungjawabkan atasnya. Secara umumnya, kebanyakan mereka itu hanyalah daripada golongan penuntut ilmu yang dangkal ( Jahil ) keilmuannya dan bukanlah tergolong sebagai orang-orang yang layak diminta petunjuk daripada mereka dan bukan pula orang yang layak digelar sebagai Ulama Islam.

    Secara umumnya yang termasuk bahagian dalam orang awam, jadi mereka tidak boleh dijadikan contoh untuk diikuti, tidak juga mereka tersebut termasuk golongan Ulama umat ini ( Islam ).

     Sekian banyak Ulama’ yang Muhaqqiq telah membuat penjelasan untuk membantah dan menolak aliran pembuat Bid’ah tersebut. Mereka telah menjelaskan kepada manusia tentang gambaran dan kesesatan firqah tersebut. Dan mereka telah mengarang mengenai perkara tersebut di dalam kitab-kitab mereka seperti :

1.      Syifa as-Saqam oleh al-Imam Sheikh al-Islam Taqiyuddin as-Subki.
2.      Al-Jawahir al-Munazzam oleh al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami.
3.      Syawahid al-Haq oleh al-‘Allamah an-Nabhani.
4.  Khulashah al-Kalam dan ad-Durar as-Saniyyah fi Raddi ‘Alal Wahhabiyah oleh al-‘allamah Sayyid Ahmad Zaini Dahlan.
5.      Ghauts al-‘Ibad oleh al-‘Allamah abi Saif al-Hammami.
6.      Furqan al-Quran oleh al-‘Allamah Salamah al-‘Azzami.
7.      Shulh al-Ikhwan oleh Sheikh Daud Effendi.
8.    Baraah al-Asy’ariyyin min ‘Aqaid al-Mukhalifin oleh Sheikh Abu Hamid ibn Marzuq.
9.      Ash-Shawa’iq al-Ilahiyah oleh Sheikh Sulaiman bin Abdul Wahab.
10.  Nafas al-Rahman oleh al-‘Allamah Ismail bin Mahdi al-Gharbani.

# 9. Sheikh Sulaiman bin Abdul Wahab , adalah Sulaiman bin ‘Abdul Wahab bin Sulaiman at-Tamimi an-Najdi, saudara kandung Muhammad bin Abdul Wahab ( pengasas Mazhab Wahabi ). Beliau sangat keras dalam menentang pemikiran dari saudaranya ( yang membawa fahama wahabi ) dan menulis beberapa buah risalah untuk menentang fahaman tersebut, yang diantaranya Ash-Shawa’iq al-Ilahiyah dan ar-Raddu ‘ala Man Kaffaral Muslimin bi Sababin Nazri li GhairiLlah. Wafat pada tahun 1210H.

Berapa banyak kitab-kitab yang dibukukan oleh Ulama’-Ulama’ besar tentang penyelewengan Fiqrah ini, jadi kepada semua, janganlah ragu-ragu lagi dan berpegang teguh lah pada Alhus Sunnah wal Jama’ah. Sekian. Salam .

Monday, June 25, 2012

Bid'ah part 3


Terdapat Hadits Shohih bahawasanya Sayyiduna Rasulullah saw bersabda :
“ Hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa al-Rasyidin yang diberi petunjuk , peganglah kalian atasnya dengan kuat-kuat , hindarilah dari membuat perkara-perkara baru , setiap perkara baru itu adalah bid’ah “ . Dan ada diriwayat lain ditambah : “ Setiap yang bid’ah dhalalah ( sesat ) dan setiap kesesatan tempatnya di Neraka “ . Bagaimanakah Ulama menghuraikan berkenaan Hadits ini ?


Ulama mengatakan : hadits ini masih bersifat  umum yang dikhususkan . Diantara ulama yang berpendapat seperti ini :

Imam an-Nawawi , dimana beliau menyatakan didalam Dalilul Falihin Syarah Riyadus Sholihin : “ Maka diketahuilah bahawasanya sabda Nabi saw ; Setiap bid’ah  itu sesat , adalah hadits yang bersifat umum yang sudah ditakhsiskan ( dikecualikan ) . Dan yang dikehendaki dengan hadits itu lumrahnya bid’ah ( tidak semuanya ) ”.

Imam Ibn ‘Allan as-Shiddiqi al-Makki , berkata dalam Dalilul Falihin Syarah Riyadus Salihin : “ Maka diketahuilah bahawasanya sabda Nabi saw : setiap bid’ah itu sesat , adalah hadits yang bersifat am ( umum ) yang sudah ditakhsiskan , kerana pada sunnah Khulafa al-Rasyidin juga termasuk bid’ah padahal kita diperintahkan untunk mengikutinya kerana rujukannya kepada pokok syari’at  ” .

Imam al-Amir al-Shan’ani , didalam Subulus Salam : “ Maka sabda Nabi saw : Setiap bid’ah itu sesat , adalah Hadits yang bersifat umum yang sudah ditakhsiskan ( dikhususkan atau dikecualikan ) ” .

Imam al-Muhaddits al-Kirmani , didalam kitab Syarah Shahih al-Bukhari : “ Dan Hadits “ setiap Bid’ah itu sesat ” , daripada hadits yang bersifat umum yang ditakhsiskan ( dikhususkan ) ” .

Hadits ini masih bersifat umum yang dikhususkan , yang dimaksudkan adalah perkara-perkara baru yang Bathil dan tercela , yang sama sekali tidak mempunyai dasar dalam Syariat , maka inilah yang terlarang , bersalahan jika ia sememangnya mempunyai dasar dalam syariat , maka perbuatan tersebut termasuklah yang terpuji atau dibolehkan . Jadi ianya bid’ah hasanah dan sunnah Khulafa al-Rasyidin serta para imam yang mendapat petunjuk .


                                                       

Saturday, June 16, 2012

Bid'ah part 2



Apakah yang dimaksudkan dengan Bid’ah Hasanah ?

Bid’ah hasanah adalah apa yang dilihat oleh para imam-imam Mujtahid  yang diberi petunjuk daripada apa yang bersesuaian dengan al-Quran dan as-Sunnah dalam hal kemanfa’atan dan kemaslahatan . Misalnya seperti perbuatan Shahabat ra yang mengumpulkan al-Quran dalam satu mushaf , mengumpulkan orang ramai untuk Solat Terawih berjemaah , azan pertama pada hari Jumaat . Demikian juga dengan beberapa perkara yang baru seperti munculnya tempat-tempat ibadah khusus , sekolah-sekolah dan lain sebagainya daripada jenis ibadah .

Setiap kebaikan yang pernah dikerjakan di masa Sayyiduna Rasulullah saw masih hidup itu adalah bid’ah hasanah dan orang yang mengerjakannya akan mendapat pahala , dengan Hadits yang berbunyi :

“ Sesiapa yang membuat satu amalan baik dalam Islam , maka ia akan mendapat ganjaran pahala perbuatan baik itu dan juga pahala orang yabg mengamalkan sesudah dia tanpa mengurangi sedikitpun daripada ganjaran pahala mereka tersebut “ .
Hadits dikeluarkan oleh Imam Muslim (1017) dan selainnya daripada Sayyidina Jarir bin Abdullah ra.



Apakah yang dimaksudkan dengan bid’ah mazmumah yang telah Rasulullah saw peringatkan kepada kita tentang bahayanya dan apakah dalilnya ?

Bid’ah mazmumah adalah tiap-tiap perkara yang menyalahi nash-nash al-Quran dan as-Sunnah , yang mencarik ( menyalahi ) ijma’ ulama seperti aliran-aliran sesat yang telah rosak aqidah serta menyimpang dari aqidah ahli Sunnah wal Jamaah . Dalilnya adalah beberapa hadits Rasulullah saw yang ,emcela kepada perkara bid’ah seperti sabda Baginda saw :

“ Setiap perkara baru itu adalah bid’ah dan setiap yang bid’ah itu adalah sesat “ .

Hadits dikeluarkan oleh Imam Muslim ( 867 ) , An-Nasa’ie ( 1578 ) , Ahmad ( 2/310 ) daripada Jabir ra . Dan dikeluarkan oleh Abu Daud ( 4607 ) daripada hadits Sayyidina al-Irbaadh ibn Saayirah ra . Dan dikeluarkan Ibn Majah ( 46 ) daripada Ibn Mas’ud ra .

Hadits ini sering disalah fahami oleh sesetengah golongan iaitu dengan mengatakan bahwa keseluruhan bid’ah itu adalah sesat . Dan hasilnya mereka sewenang-wenangnya menyesatkan kaum muslimin atas alasan membuat sesuatu bid’ah . ( Untuk menerangkan kaedah pemahaman sebenar hadits ini penulis akan bawa pada post akan datang ). Maksud isi hadits tersebut adalah perkara-perkara yang baru yang batil yang tidak mendapatkan keredhaan Allah dan RasulNya , berdasarkan keterangan Hadits yang berbunyi :

“ Sesiapa yang membuat suatu perkara baru yang sesat , Allah dan RasulNya tidak redha kepada hal tersebut , maka dia akan mendapat dosa sama seperti dosa-dosa orang yang mengerjakan perbuatan tersebut , tidak akan berkurang sedikitpun dosa mereka “ .
Hadits dengan lafas makna ini diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan Ibn Majah daripada ‘Amr ibn ‘Auf .

Dan hadits yang berbunyi :

“ Sesiapa yang membuat sesuatu perkara baru dalam agama yang tiada dasarnya , maka hal itu tertolak “ .
Hadits riwayat al-Bukhari ( 2550 ) , Muslim ( 1718 ) , daripada ‘Aisyah ra .


Penulis akan menyambung lagi perbincangan mengenai hal ini pada post akan datang , Insyaallah.. Merujuk pada kitab yang dikarang oleh al-‘Allamah ad-Dai ilallah al-Habib Zain al-‘Abidin Ba’alawi yang diterjemahkan oleh Sheikh Abu Zahrah al-Qedahi dan Sheikh Syahid Aulia al-Banjari .

                                  

Monday, June 11, 2012

Bid'ah part 1


Salam , oleh kerana seorang sahabat penulis bertanyakan tentang hal Bid’ah , disini penulis menulis persoalan mengenai Bid’ah . Sekian .

Bid’ah itu terbahagi kepada berapa bahagian ?

Ulama membahagikan bid’ah itu kepada dua bahagian : Bid’ah Hasanah dan Bid’ah Qabihah ( tercela ) .

Diantara Ulama yang membahagikan bid’ah kepada dua bahagian :

Imam asy-Syafie ra . Diriwayatkan oleh Abu Nuaim dengan sanadnya kepada Ibrahim ibn al-Junaid , katanya : Harmalah ibn Yahya berkata : Aku mendengar Imam asy-Syafie berkata : “ Bid’ah itu ada dua , Bid’ah terpuji dan bid’ah yang tercela . Apa yang selari dengan as-Sunnah maka ia terpuji dan apa yang menyalahi ( bertentangan ) dengan as-Sunnah , maka ia dicela . Didalam riwayat yang lain beliau berkata : “ Perkara-perkara baharu ( bid’ah ) itu ada dua jenis . Perkara-perkara baharu yang menyalahi al-Quran atau sunnah atau atsar ( atsar Shahabat ) atau ijma’ , maka ia bid’ah Dhalalah ( sesat ) . Dan perkara baharu yang di adakan yang baik yang tidak menyalahi mana-mana daripada empat perkara tersebut maka ia adalah bid’ah yang tidak tercela . ( Manhaj al-Salaf fi Fahm an-Nusus Bayn an-Nazariyyah wa at-Tatbiq oleh Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani , cetakan kedua , halaman 346-347 )

Imam an-Nawawi ra . Sepertimana yang tersebut di dalam kitab Tahdzib al-Asma’ wa al-Lughat : “ Bid’ah dari segi syara’ adalah mengada-adakan sesuatu yang tidak ada pada zaman Rasulullah saw dan ia terbahagi kepada hasanah ( baik ) dan qabihah ( buruk ) . ( Tahdzib al-Asma wa al-Lughat , Teheran Mantsurat Maktabah al-Islami , Jilid 1 halaman 23 )

Imam ‘Abdul Haq ad-Dihlawi : Ketahuilah olehmu , bahawasanya setiap apa yang muncul setelah zaman Rasulullah saw adalah bid’ah dan setiap ( bid’ah ) yang selari dengan Ushul ( pokok-pokok ) as-Sunnah dan qaedah-qaedah atau yang diqiaskan atasnya , maka ia itulah bid’ah hasanah dan setiap yang menyalahinya , maka ia itulah bid’ah sayyiah ( yang dicela ) dan dhalalah ( sesat ) .( al-Asas fi as-Sunnah wa Fuqaha oleh Said Hawwa , Cetakan II , Dar al-Islam , halaman 360 )

Imam ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad . Beliau membahagikan bid’ah itu kepada tiga sepertimana yang tersebut di dalam kitab beliau yang berjudul Risalah al-Mu’awanah : “ Bid’ah itu tiga bahagian . Bid’ah hasanah dan iaitu apa yang dilihat oleh aimmatul huda daripada barang yang selari dengan al-Quran dan as-Sunnah daripada pihak yang memilih akan yang lebih baik dan lebih bermanfaat dan yang lebih elok ... Dan yang kedua , bid’ah yang dicela atas lidah orang yang zahid dan Wara’ dan qana’ah jua seperto berluas-luas dalam pakaian dan makanan yang mubah dan tempat kediaman yang mubah . Dan yang ketiga , bid’ah yang mazmumah secara Mutlak dan iaitu barang yang menyalahi nash-nash al-Quran dan hadits atau carik ijma’ Ulama’ umat . ( Risalah al-Mu’awanah wa al-Mudzaharah wa al-Mu’azarah lil Raghibin min al-Mu’minin fi suluk Thariq al-Akhirah oleh al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad , Dar al-Hawi , halaman 64 )

Imam Ibn Hajar al-Asqalani . Beliau menyebut di dalam kitabnya Fath al-Baari Syarh Shahih al-Bukhari , Kitab Shalat Tarawikh : “ Bid’ah asalnya adalah sesuatu yang baharu diadakan dengan tiada contoh terlebih dahulu . Ia di dalam syara’ilah lawan kepada as-Sunnah dan dicela . Dan tahqiq ( maksud sebenar ) sesuatu yang baharu yang masuk di bawah perkara yang baik pada pandangan Syara’ , maka ianya baik ( terpuji ) dan sekiranya termasuk di bawah perkara yang buruk pada pandangan syara’ maka ianya buruk ( dicela ) . ( Fath al-Baari syarh Shahih al-Bukhari oleh ibn Hajar al-Asqalani , Dar as-Salam , Riyadh , halaman 321 )



Topik ini akan bersambung pada post yang akan datang , nantikan sambungan nya , sekian . Salam .

Sunday, June 10, 2012

Ikhtilaf Imam Mujtahid



Apakah manfaat ikhtilaf dikalangan para imam mujtahid ?

Ketahuilah ! Bahawanya ikhtilaf ( perbezaan pendapat ) yang terjadi di antara para imam Mujtahid adalah rahmat dari Allah Ta’ala untuk umat ini . Mereka tidak berbeza pendapat pada masalah ushul ( pokok atau prinsip utama ) , tetapi hanya berbeza pada masalah-masalah yang furu’iyah ( cabang ) apabila ketiadaan nash-nash yang ditentukan secara pasti atau berbilang-bilang kiasannya .

Ikhtilaf yang demikian memberi kemudahan dan kelonggaran ke atas umat ini serta mengeluarkan mereka dari kesempitan dan kesusahan . Ia sesuai dengan apa yang dikehendaki Allah Ta’ala di dalam firmannya :

“ Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan , dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran .” ( Surah al-Baqarah : 185 )

Dalam ayat lain , Allah Ta’ala berfirman :

“ Dialah yang memilih kamu ( untuk mengerjakan suruhan agamaNya ) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah . “ ( Surah al-Hajj : 78 )

Imam al-Khatib meriwayatkan sebuah cerita dari Ismail bin Abi Mujaalid , bahawa suatu ketika Khalifah Harun at-Rasyid pernah berkata kepada Imam Malik bin Anas semoge Allah merahmati Beliau : “ Wahai Abu Abdillah , kami akan menulis Kitab al-Muwatta’ engkau , dan kami akan kirim keseluruh penjuru negeri Islam , untuk kami perintahkan kepada umat ini supaya berpegang dengannya !  “ Beliau ( Imam Malik ) menjawab : “ Wahai Amirul Mukminin ! Sesungguhnya iktilaf di antara ulama itu adalah rahmah bagi umat ini , mereka semua berada dalam satu petunjuk dan mereka semua mengharapkan Redha Allah “ . Dalam sepotong Hadits ada mengatakan :

“ Perselisihan pendapat ( di dalam masalah Feqih ) di kalangan umatku adalah merupakan satu rahmat “ . ( Hadits ini ditakhrij oleh Syaikh al-Maqdisi didalam kitab al-Hujjah dan telah dinukilkan oleh as-Sayuthi di dalam al-Khasais al-Kubra )

Khalifah Umar Abdul Aziz pernah berkata : Aku tidak bergembira kalau seandainya para Shahabat Rasul saw itu tidak berbeza pendapat , kerana sekiranya mereka itu tidak pernah berbeza pendapat , nescaya tidak akan ada yang dinamakan ruhshah .

Ketahuilah ! Bahawa mereka yang berbeza pendapat pada masalah furuiyyah , sebenarnya mereka telah diisyaratkan di dalam al-Quran dengan firmanNya :

“ Dan kalaulah Tuhanmu ( wahai Muhammad ) mengkehendaki , tentulah dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu . ( tetapi Dia tidak berbuat demikian ) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan , [ 118 ]

Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu , (mereka bersatu dalam agama Allah ) dan untuk ( perselisihan dan rahmat ) itulah Allah menjadikan manusia “ . ( Surah Hud 118-119 )

Mereka itu adalah orang-orang yang dirahmati Allah Ta’ala , Khilafiyyah yang terjadi di antara mereka itu adalah sebagai rahmat . Manakala orang yang berbeza pendapat dalam masalah ushul agama ( yakni aqidah ) , hal tersebut tidaklah dirahmati dan diredhai , kecuali orang yang menepati kebenaran tersebut di kalangan mereka . Mereka itu adalah Ahlussunnah Wal Jamaah , yang berpegang teguh dengan apa yang ditunjukan oleh Nabi saw dan para Shahabatnya ra .

Saturday, June 9, 2012

Imam al-Tirmidzi


Biodata Imam al-Tirmidzi . ( Bonus ) 

Nama Dan Gelaran

Imam al-Hafiz Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa bin Saurah bin Musa bin ad-Dahhak al-Sulami al-Dharir al-Bughi al-Tirmidzi , salah seorang ahli periwayat dan ahli Hadits yang terkemuka , Selain Imam al-Bukhari , Imam Muslim , Imam Abu Daud dan tokoh-tokoh hadits yang lain . Beliau dikenali sebagai :

Al-Sulami  - iaitu nisbah kepada Bani Sulaim ( dibaca secara tasghir ) yang merupakan satu qabilah yang berasal dari Qais ‘Ailan .

Al-Dharir , yang bermaksud seorang yang buta . Menurut setengah riwayat matanya menjadi buta di akhir umur beliau kerana banyak menangis lantaran menghabiskan umurnya  untuk beribadat .

Al-Bughi – Nisbah kepada suatu kampung di dalam daerah Tarmiz , tempat dimana beliau wafat .

Al-Tirmidzi , iaitu gelaran paling masyhur . Seluruh ilmuan zaman berzaman mengenali beliau dengan nama gelaran ini , gelaran ini merujuk kepada tanah tumpah darah beliau yang terletak di Utara Iran , di kawasan utara Sungai Jaihun ( Amudaria ) iaitu kota Tizmiz .

Kelahiran Imam Al-Tirmidzi .

Ahli sejarah tidak menukilkan tarikh kelahiran beliau secara tepat , mereka hanya menggariskan tarikh kelahiran beliau sekitar awal kurun ketiga Hijrah . Namun yang demikian menurut Imam al-Dhahabi beliau lahir pada tahun 209H berdasarkan sepakat mejoriti ahli sejarah mengatakan beliau meninggal dunia pada tahun 279H ketika berusia 70tahun.

Sejarah Kehidupan dan Pengembaraannya Menuntut Ilmu .

Sebahagian pengkaji mengatakan Abu ‘Isa al-Tirmidzi berasal dari Mirwaz , kemudian berpindah ke Tirmidz dan menetap disana . Beliau hidup dan membesar di zaman kegemilangan ilmu Hadits dan amat gemar mempelajari Ilmu dan mencari Hadits . Untuk memperluas dan memperdalamkan lagi Ilmunya , Imam al-Tirmidzi sentiasa mengembara dan merantau ke banyak negeri . Beliau mengikuti halaqah-halaqah Ilmu Hadits di segenap ceruk rantau termasuk di pusat-pusat pengajian ilmu yang terdapat di Khurasan , Iraq dan Hijaz . Beliau telah mendengar Hadits , menghafal dan mencatat hadits-hadits dengan baik .
Namun begitu para ulama Hadits berpendapat Imam al-Tirmidzi tidak pernah sampai ke Mesir , Syam dan Baghdad kerana mendapati beliau meriwayatkan Hadits dari ulama-ulama Mesir , Syam dan Baghdad secara perantaraan .

Imam al-Tirmidzi telah mengambil masa yang begitu lama menimba ilmu , belajar , mencatat , berdiskusi , menghafal Hadits , mengajar , menyumbang dan mengarang sehingga meletakkan dirinya sebagai ulama Hadits yang disegani oleh para ulama sezaman dengannya . Pada akhir kehidupannya Beliau telah menjadi buta . Akhirnya Imam yang zuhud dan banyak berkorban ini meniggal dunia . Beliau kembali menghadap Ilahi di Tirmidz pada malam Isnin 13 Rejab tahun 279H ketika berusia 70tahun .

Guru-Gurunya .

Imam al-Tirmidzi adalah salah seorang murid kepada Imam Hadits yang terkenal iaitu Imam al-Bukhari dan merupakan salah seorang perawinya . Selain Ilmu Hadits Imam al-Tirmidzi juga mempelajari Ilmu Feqah dengan Imam al-Bukhari . Manakala jalur periwayatan yang lain Imam al-Tirmidzi juga berkongsi guru dengan Imam al-Bukhari . Bahkan beliau juga berkongsi guru dengan enam orang pengarang Kutub as-Sittah . Nama-nama guru mereka ialah ;-

·       Abbas ibn Abd al-‘Azim al-‘Ambari , wafat tahun 247H
·       Abu Hafs ‘Amr ibn ali al-Fallas , wafat tahun 246H
·       Nasr ibn Ali al-Jahdami , wafat tahun 250H
·       Muhammad ibn al-Muthanna Abu Musa , wafat tahun 252H
·       Muhammad ibn Bashshar Bundar , wafat tahun 252H
·       Ya’qub ibn Ibrahim al-Dawraqi , wafat tahun 252H
·       Ziyad ibn Yahya al-Hassani , wafat tahun 254H
·       Muhammad ibn Ma’mar al-Qasyi al-Bahrani , wafat tahun 256H
·       Abu Sa’id al-Ashaj Abdullah ibn Sa’id al-Kindi , wafat tahun 257H
 
Guru beliau yang lain ialah Qutaibah bin Saudi Arabia’id , Ishaq bin Musa , Mahmud bin  Gailan . Said bin ‘Abdur Rahman , Muhammad bin Basysyar , ‘Ali bin Hajar , Ahmad bin Muni’ dan Muhammad bin al-Musanna .

Murid-Murid Beliau

Hadits-Hadits dan ilmu-ilmunya dipelajari dan diriwayatkan oleh ramai tokoh dari kalangan alim ulama . Di antaranya ialah Makhul ibnul-Fadl , Muhammad bin Mahmud  ‘Anbar , Hammad bin Syakir , ‘Ai-bd bin Muhammad an-Nasfiyyun , al-Haisam bin Kulaib asy-Syasyi , Ahmad bin Yusuf an-Nasafi , Abul-‘Abbas Muhammad bin Mahbud al-Mahbubi , yang meriwayatkan kitab  Al-Jami’ daripadanya dan lain-lain .

Ketokohan Imam al-Tirmidzi dan Pengiktirafan Para Ulama Terhadapnya .

Beliau merupakan tokoh ulama sepanjang zaman , kewibawaan beliau dalam lapangan ilmu periwayatan , penulisan dan pengajaran diakui oleh para ulama . Berikut dinukilkan beberapa pujian dan akuan para ulama terhadap beliau :-

Imam al-Bukhari pernah mengungkapkan kata terhadap Imam al-Tirmidzi yang berbunyi : “Aku lebih banyak mendapat manfaat darimu berbanding engkau mengambil manfaat dariku “ . Al-Hafiz Abu al-Fadhlu Muhammad bin Thohir al-Maqdisi menceritakan bahawa al-Hasan bin Ahmad Abu Muhammad al-Samarqandi menggambarkan kepada kami bahawasanya Abu Said Abdul Rahman bin Muhammaf al-Idris al-Hafiz mengatakan : Muhammad bin Isa bin Saurah al-Tirmidzi al-Hafiz al-Dharir adalah seorang imam teladan dalam bidang ilmu Hadits . Beliau telah menyusun kitab al-Jami’ , al-Tawarikh dan al-Ilal . Kitab-kitab susunannya itu membuktikan bahawa beliau seorang ulama yang berpengalaman luas , dan selalu menjadi tauladan kepada orang lain , terutamanya dalam hafalan hadits .

Al-Zahabi didalam kitabnya al-Mizan mengungkapkan :

Al-Tirmidzi adalah seorang yang banyak menghafal . Penyusun kitab al-Jami’ dan diperakui kesahihan riwayatannya oleh Ijma Ulama .

Ibnu Al-Imad al-Hambali di dalam kitabnya Syadzratudz Dzahab , mengungkapkan sebagaimana berikut : al-Tirmidzi amat menonjol di kalangan Ulama seangkatannya . Beliau merupakan model dalam penghafalan dan mendalami Ilmu Hadits .

Karya-Karyanya .

Imam Tirmidzi banyak menulis kitab-kitab . Di antaranya :


·       Kitab Al-Jami’ , dikenali Sunan at-Tirmidzi .
·       Kitab Al-‘Llal .
·       Kitab At-Tarikh .
·       Kitab Asy-Shama’il an-Nabawiyyah .
·       Kitab Az-Zuhd .
·       Kitab Al-Asma’ wal-kuna .
 
Di antara kitab-kitab tersebut yang paling besar dan terkenal serta tersebar luas adalah Al-Jami’ .


Susunan penulis dari Kitab Habibullah terjemahan kitab Syama’il Muhammadiyyah karangan Imam Al-Tirmidzi oleh SheikhHazri Hashim al-Bindany . Semoga Allah merahmati mereka , amin ...

Thursday, June 7, 2012

Mujtahid Ummah


Apakah kewajiban bagi orang yang belum mencapai darjat ijtihad ?

Wajib ke atas setiap orang yang beriman yang mengikuti syariat Rasulullah saw , meyakini apa yang telah dijelaskan oleh al-Quran dan al-Hadits dan berpegang dengan pendapat para ulama yang masyhur dikalangan orang khusus (‘alim ulama’) dan ‘awam seperti imam-imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah , Imam Syafi’i , Imam Malik , Imam Ahmad dan imam-imam lainnya . Maka sesiapa yang bertaqlid kepada salah seorang diantara mereka dalam suatu amal , sesuai dengan apa yang mereka fahami dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw , maka dia orang yang selamat disisi Allah dalam taklid itu , sebagaimana Allah Taala telah mengiizinkan para Mujtahid untuk berijtihad dan Muqallid untuk bertaqlid kepada para imam tersebut . Allah berfirman :

... Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui . ( surah an-Nahl ; 43 )

Maka jelaslah bagi mereka yang bukan mujtahid untuk mengikut kepada para imam yang sudah memenuhi syarat sebagai mujtahid , kerana itu adalah jalan bagi orang yang beriman , serta ia harus meninggalkan dakwaan-dakwaan bahawa boleh berijtihad dan langsung beristinbath dengan al-Quran dan al-Hadits tanpa memerlukan untuk bertaqlid kepada seorang imam Mujtahid , kerana dari sejak zaman Shahabat dan Tabi’in hukum dan qaedah-qaedah Islam telah ada tetap , pengambilannya itu secara sempurna dari al-Quran dan al-Hadits , kemudian dibukukan menjadi buku-buku usul dan qaedah , maka sentiasalah orang yang sesudah mereka itu kembali merujuk kepada hukum tersebut dan mengikuti ulama yang arif lagi terkenal dengan Ilmu mereka itu di kalangan orang yang khusus dan masyarakat awam .


Peringatan !

Ulama mengatakan : Seandainya terdapat suatu Hadits Shohih misalnya , kita tidak dibenarkan berhukum dengannya , sehingga atau sebelum kita melihat (merujuk) kitab-kitab hukum , kemudian baru boleh berhukum dengannya . Berapa banyak Hadits yang Shohih yang tidak diamalkan kerana ada sesuatu yang menuntutnya iaitu telah dinasakh (dihapuskan) hukumnya dengan Hadits Shohih yang lainnya , dan orang yang mampu meneliti masalah seperti ini adalah mereka yang sudah mampu berijtihad , bukannya selain mereka . Renungkanlah !!



Susunan penulis dari kitab Habib Zain bin Sumaith Ba’alawi yang diterjemahkan oleh Sheikh Abu Zahrah Al-Qedahi dan Sheikh Syahid Aulia Al-Banjari. Semoga Allah meredhai mereka , amin...

Perbezaan Pendapat


Apakah yang patut dilakukan oleh seorang muslim ketika terjadinya perbezaan pendapat?

Ketahuilah bahawa Baginda saw telah memerintahkan kita , yang apabila terjadinya perselisihan di antara umat , maka wajib mengikuti pendapat majority umat Islam , kerana Baginda saw tekah mengkhabarkan kepada kita bahawa umat ini akan terpelihara  daripada bersepakat didalam suatu kesesatan dan kesalahan . Baginda saw besabda : 

Sesungguhnya umatku ini tidak akan sepakat dalam satu kesesatan , maka apabila kalian melihat berlakunya perselisihan , maka hendaklah kalian mengikut pendapat as-Sawad al-‘Azhom (kebanyakan kaum muslimin / Ulama’ yang shohih )”   

Al-‘Allamah as-Sindi ra dalam ulasannya terhadap hadis tersebut mengatakan :
As-Sawadul ‘Azhom , maksudnya adalah golongan yang banyak (mejoriti) , kerana kesepakatan mereka lebih mendekati kepada ijma’ (kesepakatan ulama – tentunya itu adalah yang benar) .
Imam as-Suyuti ra berkata ; “maksudnya adalah golongan besar umat Islam yang sepakat atas suatu perjalanan manhaj yang lurus , dan hadis tersebut menunjukkan bahawa seharusnya kita beramal atau mengikut kebanyakan jumhur ulama” .
Dalam sebuah hadis Sayyiduna Rasulullah saw bersabda :

“Sesungguhnya Allah tidak akan menghimpunkan umat ini atas suatu kesesatan selamanya , dan ‘Yadd’ ( Rahmat) Allah bersama jamaah , maka ikutilah as-Sawad al-‘Adham (golongan yang banyak ) dan sesiapa yang memencilkan diri (dari golongan yang banyak ) , maka pasti terpencil di dalam neraka “.

Demikian juga Baginda Rasulullah saw pernah bersabda :

“Aku memohon kepada Tuhanku agar tidak berhimpun umatku di atas kesesatan , maka aku dikurniakan dengannya (yakni dikabulkan)”

Para ulama mengatakan : “Dengan rasa syukur kepada Allah sentiasalah Ahlus Sunnah wal Jamaah sejak dari zaman permulaan sehingga kini merupakan golongan mejoriti . Maka benarlah yang demikian itu , bahawasanya mereka adalah golongan yang selamat  , yang selalu berpegang dengan al-Quran dan al-Sunnah serta apa yang dipegang oleh para Salaf dikalangan Shahabat , Tabi’in dan para Imam Mujtahid . Saiyyiduna Rasulullah saw telah memberi isyarat terhadap perkara ini :

“Sesungguhnya Bani Israel itu terpecah menjadi 72 fiqrah , maka umatku ini akan terpecah menjadi 73 fiqrah , semuanya akan masuk neraka kecuali satu yang akan selamat . Mereka (para Shahabat) bertanya : Siapakah yang selamat itu wahai Rasulullah ? Baginda saw menjawab : Orang yang mengikuti jejak langkahku dan para Shahabatku”.

   

Susunan penulis berdasarkan penterjemahan kitab Al-Allamah Habib Zain Bin Sumaith Ba’alawi yang diterjemah oleh Sheikh Abu Zahrah al-Qedahi dan Sheikh Syahid Aulia al-Banjari .